Hari ini saya menziarahi ibu dan bapa mertua di kampung sebelah. Kg. Simpang Tiga. Saya membawa anak-anak bersama ke sana dan tiba hampir jam 10 pagi. Rupanya mak dan abah baru pulang dari menziarahi orang meninggal dunia di Kg. Padang Besar. Kami terserempak ketika abah dan mak masih di hadapan rumah Seehan dan saya masih menurunkan anak-anak. Emak terus turun dari motosikal dan abah pula membawa Jawhar ke kedai untuk membeli bahan-bahan untuk dimasak tengahari ini.
Saya masuk ke rumah dan melihat Inah turut berada di rumah dan sempatlah saya melihat anaknya yg lama tak berjumpa. Sekejap saja dah besar Siti Balqis itu. Kemudian bersembang-sembang dengan Inah dan Siti. Jawhar yang baru pulang dari membeli ikan dan sayur bukan sahaja membawa pulang bahan yang boleh dimakan, tetapi juga sebuah lori kren mainan yang saya rasa berharga RM8-RM10. Geram jugak saya melihatnya. Air yogurt LiteYo pon ada bersama.
Pulang dari rumah ibu mertua selepas solat zuhur di sana. Sampai sahaja di rumah, ibu saya pula sedang bersiap-siap dan hanya menunggu abah untuk menghantarnya mengaji Al-Quran di rumah seberang jalan. Jawhar mengekor jugaklah tokwanya. Selepas itu aku melihat Jawhar sudah pulang dan memegang sekotak TORA. Ahhhhh.. Lagi geram saya dibuatya. Bukan apa pun yang ada. Hanya sebungkus keropok bersalut coklat yang masuk angin (lemau) dan sebuah kereta mainan kecil bersaiz kotak mancis.
Emak pulang dari mengaji Al-Quran jam 5.00 petang. Saya bersama jawhar keluar mengambilnya. Seusai menghantar emak di rumah, kami keluar semula ke Pekan Guar Chempedak untuk mengisi minyak petrol yang hampir kehabisan. Sudah dua hari lampu amaran berkelip-kelip. Saya memilih untuk mengisi minyak petrol di Stesen Minyak Petronas kerana sudah banyak kali mengisi minyak Shell. Konon-konon setiap jenama ada 'BAGUS'nya yang tersendiri. Tapi, ahhhhhhhhh! Saya silap lagi. Jawhar meluru masuk Kedai Mesra padahal saya masih membayar duit minyak di kaunter luar. Perhatiannya tentulah tertumpu kepada deretan mainan yang pelbagai jenis dipamerkan. Harga pun boleh tahan buat pembeli yang takda pendapatan macam saya. Saya menawarkan mainan yang murah sahaja. Tetapi dia tidak melayan dan langsung tidak menghiraukan saya. Hanya melompat dan menjerit barang mainan kegemarannya. Sebuah kereta berkawalan. Ianya berharga RM25. Saya terpaksa membeli bateri 4 biji berharga hampir RM6 untuk buat ia bergerak. Sabar ja lah!
Pulang ke rumah, saya meneruskan bebelan saya yang bermula dari Guar Chempedak lagi. Saya terpaksa meleterinya kerana sikapnya yang sudah melampau. Oleh kerana dia berjauhan dari abahnya, ramai yang 'terpaksa' mengikut kemahuannya. Ianya benar-benar keterlaluan. Oleh kerana takut, dia menyimpan semua mainan-mainannya yang disepahkan di ruang tamu rumah. Bagaimana harus saya mengubah sikapnya. Saya sedar mungkin ia bermula dari saya. Mengapa? Bagaimana? Nantilah saya cerita di entri yang lain. Hari ini hari melipatgandakan kesabaran. Tetapi kadang-kadang saya tidak mampu.